'Memudahkan Percutian Anda'

Percutian Hj Mahadi dan Isteri di Uzbekistan

Alhamdulillah, kami telah selamat sampai ke tanah air selepas tujuh hari berada di bumi Uzbekistan. Secara keseluruhannya, kami amat bersyukur dan berpuas hati dengan pakej percutian ini. Malah kami rasa apa yang kami alami adalah jauh lebih baik dari apa yang kami jangkakan.

Banyak kesan sejarah kerajaan Parsi dan kerajaan Islam selepas sahabat yang hebat dan indah ada di bumi Uzbekistan dan masih ramai orang Malaysia yang belum mengetahui akan keindahan yang tersembunyi di bumi Uzbekistan.

Bagi kami yang sangat suka kepada kesan peninggalan sejarah, senibina dan budaya lama yang unik, ini adalah tempatnya!

Menggunakan syarikat penerbangan Uzbekistan Airways adalah pilihan yang tepat kerana kualiti perkhidmatanya yang baik dan memuaskan. Ini merupakan pengalaman pertama kami menggunakan syarikat penerbangan Uzbekistan Airways.

Memilih Business Class telah menambahkan lagi keselesaan penerbangan kami kali ini. Kami sentiasa mendapat perhatian dan layanan yang mesra dari crew carbin. Mana tidaknya, hanya kami berdua sahaja dalam carbin Business Class pada penerbangan tersebut!

Menginap di tiga hotel yang berbeza di Tashkent, Bukhara dan Samarkhand, Hotel Porso di Bukhara kami letakan pada ranking yang pertama kerana kualiti dan lokasi nya menepati impian kami. Bangunan dan bilik yang kaya dengan unsur kesenian senibina Uzbek, di kawasan bandar lama, sangat privasi, berhampiran pusat pelancongan, berhampiran kafe, restoran, mini market dan masjid terletak di depan hotel.

Kami sangat bernasib baik kerana dibenarkan untuk check-in seawal jam 11.00 pagi kerana waktu percutian kami bukan waktu puncak percutian untuk pelancong tempatan dan negara di sekitar Uzbek. Sarapan pagi juga disediakan khusus untuk kami berdua kerana kebetulan hanya kami berdua sahaja yang menginap di hotel tersebut untuk dua malam kami berada di Bukhara.

Kami rasa sangat istimewa menginap di hotel ini. Namun begitu. Hotel di Samarkhand dan Tashkent juga baik kualitinya. Bilik yang bersih, luas serta kakitangan yang sangat mesra dan sentiasa sedia membantu.

Kecuali hotel di Tashkent, walaupun kualiti hotel baik namun kedudukan nya sangat tidak sesuai untuk kami. Jauh dari kafe, restoran dan minimarket. Bersebelahan landasan keretapi dan berhampiran lapangan terbang. Memang bising dan tidak lena tidur.

Tempat tempat lawatan seperti madrasah, masjid, muzium, bandar lama, istana lama dan makam sangat menakjubkan. Senibina bangunan Parsi yang selama ini kami hanya mampu lihat di Google, kini kami dapat melihatnya sendiri di depan mata.

Boleh kami katakana apa yang kami lihat di Google hanya lah 30% dari keindahannya yang sebenar! Semua sudut adalah cantik dan semua lorong adalah seni. Sukar untuk kami gambarkan melalui penulisan akan keindahan, keunikan dan kehebatan senibina setiap bangunan lama dan bersejarah di Bukhara, Samarkhand dan di Tashkent. Datang dan lihat lah sendiri keindahan dan kehebatan Uzbekistan.

Berpeluang menyelami sejarah kehidupan perawi hadis yang sangat terkenal, Imam Bukhari atau nama penuhnya, Abu Abdullah Muhammad bin Ismail Bukhari membuat kami berasa kagum atas kelebihan yang Allah kurniakan ke atas seorang perawi hebat yang telah mengabdikan sebahagian besar usianya untuk Islam.

Keputusan kami untuk mencari makanan sendiri juga berbaloi, kerana kami dapat memilih sendiri makanan yang kami suka. Dalam banyak makanan yang kami telah cuba, Somsa di Bukhara dan Plov di Samarkhand kami letakan pada ranking yang pertama.

Sangat sedap dan kaya dengan bahan nya. Makanan lain juga tidak kurang hebatnya. Makanan yang berasaskan daging dan kambing merupakan pilihan kami. Menikmati makanan dan buah buahan di pinggir jalan juga sangat menarik.

Antara yang kami tidak mungkin lupa ialah keenakan air jus buah delima yang diperah segar secara manual oleh makcik kampung di pinggir jalan. Bukan sahaja segar dan manis, malah harganya juga sangat murah.

Menaiki keretapi laju dari Tashkent ke Bukhara sangat selesa. Perjalanan empat jam di dalam Business Class coach tidak begitu terasa penat kerana selesa dan pemandangan di sepanjang perjalanan yang sangat indah. Namun perjalanan pulang dari Bukhara ke Samarkhand dan Samarkhand ke Tashkent dengan menaiki MPV tidak lah seperti yang kami sangkakan.

Walaupun lebuhraya nya lurus dan lebar namun disebabkan kualiti pembuatan yang rendah dan kurang diselenggara maka banyak kawasan yang beralun, tidak rata dan berlubang. Ianya sangat mencabar fizikal kami yang sudah berumur ini. Namun penat di lebuh raya terubat apabila disajikan dengan pemandangan di sepanjang lebuh raya yang sangat indah dan unik.

Lebuhraya ini merupakan laluan sutera yang dihiasi dengan rumah rumah desa, ladang dan kebun buah buahan yang luas. Lebuh raya ini juga dikongsi oleh jentera ladang, penunggang kuda dan keldai.

Berpeluang melihat sendiri Station Metro di Tashkent adalah antara kenangan manis yang tidak mungkin dapat kami lupakan. Cantik sungguh senibina Station Metro mereka. Tidak sangka station secantik ini pernah menjadi kubu perlindungan bawah tanah ketika era perang dingin dahulu. Setiap station berbeza rekaan dan seni nya.

Walaupun membeli belah bukan lah matlamat percutian kami, namun keunikan bazar di Tashkent tetap menarik perhatian kami. Tidak puas rasanya mengambil gambar di bazar ini. Dari barang barang kering seperti manisan, coklat, pakaian, cenderahati dan kekacang sehinggalah barang barang basah seperti daging kuda, sayur dan buah buahan semuanya ada dijual di sini. Meriah dan berwarna warni.

Bazar ini adalah syurga untuk mereka yang suka membeli belah. Pemandangan di pergunungan Chimgam yang putih diliputi salji memang sangat indah. Kebiruan Tasik Charvak yang dikelilingi gunung bersalji sangat menakjubkan. Keindahan dan kesempurnaan alam ciptaan Allah sangat hebat dan tidak mungkin dapat kami lupakan. Suhu di bawah -2 °C bukannya halangan untuk kami berada lama di sini kerana pemandangan yang indah begini tidak ada di negara kita. Melihat anak anak muda tempatan menunggang kuda dan bermain ski membuatkan kami asyik dan teringat anak anak. InsyaAllah, satu hari nanti mereka juga akan berpeluang untuk sampai ke sini.

Pengajaran dari percutian kami kali ini ialah, Nabi dan sahabat telah meninggalkan ilmu kepada kita, kita lah yang bertanggung jawap untuk meletakan ilmu pada kedudukan yang tinggi dan hebat, dan kita juga lah yang mesti mengamalkan segala ilmu yang telah dipelajari, namun jika kita tidak mengamalkan

segala ilmu itu, maka ilmu akan hilang ditelan zaman. Kesimpulannya, kami rasa sangat bersyukur kerana berpeluang bercuti di Uzbekistan.

Terima kasih kami ucapkan terutamanya kepada HADIGO TRAVEL AND TOUR SDN BHD (En Hadi dan Atiqa) atas amanah, kejujuran dan kesungguhan yang telah ditunjukan, Terima kasih juga kepada Tour Guide (Mr Bek dan Mr Mahmood) serta pemandu Mr Aziz kerana sentiasa memastikan keselamatan dan keselesaan kami di sepanjang kami berada di sana. Kombinasi baik antara tour agent, tour guide dan pemandu telah menjadikan percutian kami kali ini sebagai percutian yang sangat menarik, sangat bermakna dan tentunya ianya akan menjadi kenangan manis dalam hidup kami.

Jika dikurniakan umur yang panjang, kesihatan yang baik dan rezeki yang luas, InsyaAllah kami akan kembali lagi ke bumi Uzbekistan yang bertuah ini kerana kami telah “Reserves kan” Khiva untuk kami terokai pada percutian yang akan datang,

InsyaAllah.

Atas kejujuran, amanah dan usaha gigih yang ditunjukan, InsyaAllah, HADIGO TRAVEL AND TOUR SDN BHD akan menjadi pilihan kami untuk percutian kami yang

akan datang. InsyaAllah.

Terima kasih dari:

Hj Mahadi & Hjh Adlina

PelangganHj Mahadi & Isteri
TourUzbekistan
Pakej8 Hari 7 Malam

Keindahan Bumi Uzbekistan

Lihat Pakej

 

Dalam testimoni kali ini, Hj Mahadi & Hjh Adlina berkongsi pengalaman mereka berdua sepanjang percutian di Uzbekistan. Banyak yang dikongsikan dalam artikel dan kami sangat terharu dengan penulisan ini.

Sekali lagi kami mengucapkan jutaan terima kasih kerana sudi memilih kami sebagai pengaturcara percutian anda berdua.

Semoga kita berjumpa lagi di lain destinasi. 🙂